Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Kita perlu berdamping dengan al-Quran sepanjang Ramadan; bahkan sepanjang hidup kita seharian.
Untuk mendapatkan manfaat terbaik dari al-Quran, adalah penting untuk kita memastikan kita menghampiri al-Quran dengan cara yang betul.
Dr. Khurram Murad dalam bukunya “Way to the Quran” telah meletakkan beberapa pra-syarat asas bagi kita mendapat sesuatu yang bermanfaat dari perhubungan kita dengan hidayah dari Yang Maha Pencipta ini.
Pertama: Hampirilah al-Quran dengan keyakinan yang mendalam bahawa ia adalah kalam Allah; Pencipta dan Pemilik Alam Semesta. Kitab ini bukan buku biasa tetapi ia adalah kitab hidayah dari Allah. Bayangkan keagungan Ilahi dan Rahmat-Nya menurunkan kitab ini atas belas ihsan-Nya kepada kita makhluk-Nya yang kerdil di dunia fana ini.
Kedua: Bacalah al-Quran dengan tiada tujuan atau niat selain dari untuk menerima petunjuk dari Allah, untuk mendekatkan diri kita kepada-Nya dan untuk mencapai keredhaan-Nya. Apa yang kita akan dapati dari al-Quran akan bergantung kepada apa yang kita niatkan. Jika kita berniat untuk mendapat hidayah, maka itulah yang kita akan diberikan. Jika kita berniat membaca sekadar untuk keseronokan kajian ilmiah, itu juga yang kita akan perolehi. Jika kita berniat untuk menunjuk-nunjuk, maka sekadar itulah yang kita akan dapati.
Ketiga: Pastikan kita sentiasa sedar dengan nikmat al-Quran yang sedang kita baca dan besyukur kepada Allah ke atas pemberiannya itu. Apabila kita insaf akan nilai al-Quran yang berada di tangan kita, semakin mudahlah bagi kita menerima saranan, arahan dan pengajaran yang terkandung di dalam ayat-ayatnya.
Keempat: Terimalah dengan yakin tanpa sebarang keraguan setiap ilmu dan petunjuk yang terkandung di dalamnya. Dengan pasrah, penyerahan yang total, kita menerima segenap kenyataan dan arahan yang diberikan. Tiada bahagian di dalam al-Quran yang kita tolak sebagai tidak relevan atau tidak sesuai dengan zaman moden. Tiada tempat di dalam al-Quran yang bercanggah dengan ilmu sains yang sahih.
Kelima: Sediakan diri untuk memahami dan menurut segenap titah perintah di dalam al-Quran dan menukar cara hidup kita yang sedia ada jika perlu. Untuk memahaminya, maka perlulah kita cuba memahami bahasa Arab. Jika itu tidak mungkin, kita boleh membaca terjemahan, atau tafsir atau merujuk kepada pihak yang mempunyai ilmu mengenai itu.
Keenam: Sentiasa ingat bahawa Shaitan akan sentiasa mencari jalan untuk menghalang kita dari mendekati al-Quran dan menyebokkan diri-diri kita dengan hal-hal lain yang tidak memberi manfaat kepada dunia dan akhirat kita. Shaitan juga akan berusaha memalingkan kita dari cuba mamahami dan menghayati ajaran-ajaran yang terkandung di dalam al-Quran.
Ketujuh: Yakinlah dengan Allah yang akan membimbing kita ke arah mendapat pahala yang besar dari bacaan al-Quran kita. Dengan rahmat Allah-lah kita menerima anugerah al-Quran dan dengan rahmat Allah jugalah kita akan dibimbing untuk membaca, memahami dan memperolehi hidayah darinya.
Semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada kita untuk membolehkan kita memperbaiki kualiti bacaan al-Quran kita kali ini.
No comments:
Post a Comment